Kuala Lumpur Music Festival 2012: Ekstravaganza Dikir
MASUK tahun kelapan penganjurannya, Festival Muzik Kuala Lumpur (FMKL) kembali lagi dengan pengisian lebih menarik. Kali ini ia cuba menggabungkan elemen moden, tradisi dan ‘eksperimental’ sejajar Dasar Industri Kreatif Negara yang mahu memperkayakan lagi khazanah seni Malaysia.
Objektif FMKL anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) masih sama iaitu menyediakan platform kepada pemuzik dan penghibur tempatan menyerlahkan bakat masing-masing.
Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, bagi menampilkan kelainan, FMKL 2012 akan mengangkat seni warisan bangsa yang cukup popular di pantai timur iaitu dikir barat ke pentas berprestij, Istana Budaya (IB) bermula
1 dan 2 Julai ini.
1 dan 2 Julai ini.
“Sebanyak empat pengisian utama merangkumi konsert utama iaitu Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir!
di IB, Dir... Koir Kebangsaan (Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), Asean Tradisional Music Camp (Pusat Pelancongan Malaysia pada 11 -15 Julai) dan KL Indie Music Fest (8 Julai). “Pendekatan ke arah menyemarakkan muzik di kalangan generasi muda perlu ditekankan dengan mengangkat muzik tradisional seperti dikir barat. Ia akan dijadikan eksperimen untuk menarik minat generasi muda mengenali budaya tradisi kita.
“Bertemakan ‘Dari Desa ke Istana’, FMKL 2012 akan menggabungkan buat julung kalinya kesenian tradisional dikir barat dalam genre Dikir Blues, Dikir Reggae, Dikir Rock, Dikir Indie dan Dikir Hip-Hop tanpa meminggirkan asas dan elemen terpenting dalam dikir barat itu sendiri,” jelasnya.
Kata Norliza lagi, pihaknya yakin persembahan Ekstravaganza Dikir itu akan mendapat sambutan hebat daripada penonton apabila dipentaskan di IB nanti.
“Saya tak nafikan persembahan solo Anuar Zain dan Ratu Rock, Ella sempena FMKL lalu mendapat sambutan hebat daripada penonton. Namun, kali ini pihak kami tidak tampilkan konsert secara solo kerana mahu menyelitkan gabungan artis terkenal dalam kesenian tradisi khususnya dikir barat.
“Hasil tinjauan kami, selain popular di kampung, dikir barat sesuai didedahkan
di peringkat sekolah di bandar serta mendapat sokongan daripada ibu bapa sendiri. Pada masa sama, pihak kami cuba menarik penyertaan masyarakat pelbagai kaum untuk datang beramai-ramai menyaksikan persembahan di IB nanti,” katanya.
Norliza bercakap pada sidang media di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Datuk Freddie Fernandez.
Sidang media petang itu turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan daripada artis seperti Ziana Zain, Noraniza Idris, Lan & Typewriter serta Koir Kebangsaan.
Berkongsi lebih lanjut mengenai pembabitan artis terkenal dalam dikir barat, Norliza berkata, ia sebagai suntikan komersial dan satu perkembangan sihat.
Antara artis yang akan beraksi dalam dikir barat itu adalah Ziana Zain, Noraniza Idris, Awie, Jamal Abdillah, Lan & Typewriter, Hazama, Alif Satar, Bob AF, Wakaka Crew, Sabri Yunus, Ito Blues Gang, Poe, Roy Kapila, Daniel Lee (Malaysian Idol) dan Sesastre.
“Lebih menarik, penampilan tukang karut popular dari Kelantan juga akan menghangatkan pentas nanti seperti Halim Yazid, Fendi Kenali, Jen Enduro dan Adik Wani,” katanya.
Persembahan lain yang tidak ketinggalan dianjurkan adalah Koir kebangsaan yang mendendangkan lagu popular Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad.
“Konsert Dir yang dipersembahkan pada 2010 nyata mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. Justeru, tahun ini, ia akan dipersembahkan semula dengan menampilkan 18 lagu digubah semula serta dinyanyikan Koir Kebangsaan secara harmoni di bawah pimpinan pengarah vokal Syafinaz Selamat.
“Ia akan dipersembahkan di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut pada 7 dan 8 Julai ini,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan persembahan dikir barat berharga RM20, RM35, RM45 dan RM65 boleh dibeli melalui www.ticket2u.biz atau di kaunter Box-Office, IB.
Harga tiket untuk menyaksikan Konsert Dir berharga RM10, RM20 dan RM30 boleh dibeli melalui www.ticket2u.biz.
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
roses@hmetro.com.my